Cucur bilis dan kuah kacang.
Salam sejahtera. Selepas selesai menakung air dalam baldi, dan tong (seb baik ada tong letak kerepek tu ;), my hubby balik sekejap. Saya melayannya, dan buat cekodok, makan ngan kuah sate aritu. Kuah sate tu saya bekukan. Jadi elok lagi. Sedap gak makan ngan cucur. Cuma agak kental skit la. Kalu bubuh yis, buat dia rongga2 skit sure lembut. Nak masak nasi memang tak sempat. Pastu, adik saya Suzi call. Kami borak2 dekat sejam... er takpe. duit kredit dia. hihihi.
Menjelang bulan Ramadhan ini, impian saya.... agar adik2 perempuan saya lekas mendapat jodoh yang baik di bulan yg mulia, agar kami berdua mendapat cahayamata, agar dapat menambah rezeki untuk menunaikan impian mak ayah melerai rindu ke Baitullah.
Berpeluh saya nak cakap ni. , tetapi saya tidak pandai mencari teman lelaki buat adinda2 saya. Seorang, hatinya kuat, kerana hatinya biasa berdikari, bekerja di Jusco Midvalley. Siti namanya. Seorang lagi, Suzi, mendengar kata, hatinya lembut, bekerja di Resort kat Besut. Peluang terbuka kepada para lelaki yang mampu bersolat dan berpuasa penuh di bulan Ramadhan, tidak lupa, sekufu. Mudah,kan?
Menjelang bulan mulia iaitu Ramadhan, bukan sahaja kita bole derma duit, makanan, mahupun pakaian, tetapi juga.... DARAH. Seram ke? Saya pun tak pernah derma darah. Tetapi, saya kasihan melihat kemalangan yg berlaku di bulan perayaan ini. Derma darah menyelamatkan nyawa. Besar pahala tu. :)
Di bawah, ada cerpen yang sesuai bagi mereka yg baru memasuki alam rumahtangga. :)
Cinta Rembulan Ramadan
Oleh Farahana Hussain
Sumber: Berita Harian
2010/03/08
Air Mata Subuh
BERGELAR isteri. Saya tidak pernah membayangkan saya akan menurut sahaja saranan Walid. Saranan Walid, yang lebih tepat, sebagai satu permintaan dan suruhan seorang bapa kepada anaknya. Sebagai anak, saya mahu jadi anak yang solehah. Apabila Walid menyuarakan dalam nada tegas dan sebak sambil memandang Ummi tunak, saya senyum.
“Izinkan saya, beristikharah dulu?” Pohon saya pada Walid.
Walid hanya mengangguk. Ummi senyum dan mengusap ubun kepala saya. Saya rasa dengan bertanya pada Dia sahaja akan memberikan saya ketenangan dan semoga jawapan saya kepada Walid dan Ummi dipandu oleh bimbingan Tuhan kepada bisikan hati saya. Akal saya cuba mencerna, mampukah saya memikul amanah Walid dalam usia semuda ini? Muda, bukan saya kira menggunakan angka kelahiran. Saya muda, masih pucuk hijau dalam ilmu agama dan cetek pengetahuan hal ehwal rumah tangga. Tapi, Walid dan Ummi yang menerima risikan daripada keluarga lelaki semalam. Mereka melihat saya sudah cukup bersedia daripada segenap segi. Saya melihat refleksi diri dari cermin di bilik tidur. Saya tahu, saya bukan lagi gadis yang sama seperti 10 tahun lalu. Walid dan Ummi hendak mengangkat martabat saya. Walid, wali mujbir yang punya kuasa menyatukan saya dengan mana-mana lelaki pilihannya, selagi tidak mendatangkan mudarat kepada saya, jika menurut mazhab Syafie. Persetujuan saya ini hanyalah budi bicara Walid, sedangkan Walid mempunyai kuasa menikahkan saya dengan mana-mana sahaja lelaki pilihannya. Tetapi Walid, bapa yang berilmu dan lembut hatinya. Walid tidak memaksa. Akhirnya, selepas 3 kali beristikharah. Dada saya lapang tanpa dihimpit perasaan berat. Sewaktu bangun menyiapkan juadah sahur, saya memberikan persetujuan.“Alhamdulillah.” Walid senyum lebar dan saya lihat di kolam mata Ummi ada genangan air mata. Walid mengetuai doa dan mengingatkan niat untuk berpuasa esok hari. Sebaik azan Subuh bergema, Walid mengetuai solat Subuh. Tazkirah Walid di pagi subuh hari ini, menyentuh mengenai taqqarub di bulan Ramadan.
Untung Buah Melaka
“Air tangan isteri yang mengikat cinta suami dan air tangan ibu akan mengekalkan kasih sayang anak kepada ibunya.” Ujar Ummi sambil memeriksa kelapa yang sedang dikukus.
Saya masih membulat-bulatkan adunan kuih buah Melaka, sambil meletakkan sedikit gula merah yang dikacip sebesar setengah biji guli. Kuih buah Melaka yang juga dikenali sebagai onde-onde itu selalu Ummi golekkan dengan kelapa kukus supaya tidak mudah basi. Teringat pula, saya dengan seorang kawan yang memanggil kuih ini dengan nama kekoh car. Saya terus senyum sendiri, kelucuan.
“Amboi, anak Ummi. Sambil memasak senyum sendiri. Seri pengantin dah naik ke mukalah tu.”
Usikan Ummi cepat saya sanggah dan saya ceritakan apa yang membuat saya tersenyum sendiri. “Kekoh car? Peliknya, Ummi tahu namanya buah Melaka saja. Paling penting, Walid suka makan, anak kesayangan Ummi pandai masakkan dan ada lagi ... satu yang penting ..,” Ummi senyum sambil menjungkitkan kening tanda menyuruh saya menghabiskan ayatnya.
“Apa lagi? Giliran saya mengerutkan dahi.
“Bakal menantu Ummi, khabarnya penggemar buah Melaka.” Saya tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Hendak senyumkah atau saya diserbu malu. Hari ini keluarga pihak lelaki akan datang berbuka di rumah kami. Saya tahu, risikan keluarga lelaki diterima bersyarat gantung dengan persetujuan saya. Hari ini, tentu rancangan pertunangan akan diusulkan. Entah kenapa hati saya tiba-tiba jadi berdebar. Semacam takut dan jantung saya berdenyut lebih laju daripada biasa. Bukan! Bukan! Saya tidak diserang, penyakit cinta. Saya khuatir, saya bukan pilihan terbaik untuk bakal suami dan lebih khuatir jika saya bukan pilihan hatinya, tapi sekadar pilihan keluarganya.
“Mengelamun pula. Tolong Ummi.” Pinta Ummi lembut kepada saya untuk membantunya menyerahkan bahan masakan kepadanya. Saya bangun dan segera membersihkan sisa tepung di tangan.
“Tak apa, Ummi. Biar, saya yang uruskan semuanya.”
“Oh, anak Ummi nak tunjuk bakat pada bakal keluarga baru, ya? Bagus juga, ikat hati bakal suami dengan keluarga mentua dengan air tangan sendiri. Ummi setuju.” Ummi menepuk bahu saya lembut. Kami menyediakan lauk sederhana untuk keluarga kecil yang bakal bertandang. Keluarga pihak lelaki datang berempat, bakal suami, ibu, ayah dan kembar perempuan bakal suami. Kuih buah Melaka, kegemaran Walid dan tetamu yang dijemput. Lauk ikan masak cuka kegemaran Ummi, gulai lemak ketam dan sambal udang tempoyak berserta ulaman. Bubur sarang lebah dan kuih buah Melaka sebagai pencuci mulut. Air jambu batu dengan asam boi dan teh madu suam turut kami sediakan meraikan tetamu untuk iftar di rumah kami.
Usai terawih diimamkan bakal suami, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dengar, Walid memanggil namanya, Ilham sewaktu meminta dia ke hadapan mengimamkan solat. Bacaannya dalam solatnya lancar , merdu dan sederhana panjang menjadikan selesa untuk semua jemaah yang mengikutinya. Ayah Ilham yang diperkenalkan sebagai Pak Hamzah meminta izin supaya saya berpeluang berbual-bual sendirian dengan Ilham di halaman rumah. Kolam ikan kecil dengan deru air terjun menjadi teman. Saudara kembar Ilham, Ghafirah tersenyum mengusulkan saya mengikuti Ilham keluar selepas Walid mengizinkan. Saya hanya mengikut. Ilham, kini saya lihat secara jelas fizikalnya. Rambutnya kemas disisir dan dipotong rapi. Oh, saya tidak ada peluang berlama-lama menatap rupa fizikalnya kerana sebaik sahaja dia mempelawa saya duduk, saya tidak berani menatap wajahnya.
“Awak, syaitan kena ikatkan bulan puasa macam ni?”
Saya melongo. Saya betul-betul hendak ketawa, tapi bimbang dikatakan kurang sopan. Tidak menyangka sama sekali saya akan disapa perbualan perkenalan selucu itu.
“Kenapa muka awak merah, awak malu ya?” Ilham cuba memecahkan suasana tidak mesra kami.
“Bukan. Bukan. Saya geli hati sebab ditanya soalan macam tu. Saya fikir awak akan soal sesuatu yang formal.” Balas saya.
“Oh, saya nak cakap sebenarnya. Tak apalah kita berdua-duaan ni, sebab syaitan yang ketiga daripada kita berdua tak ada. Kan?”
“Ke situ pula.”
“Maaflah, saya gurau saja. Harap-harap supaya rupa saya yang garang ni tak membuat awak berubah fikiran daripada menerima pinangan saya.”
Saya tidak terkejut dengan sangkaannya sendiri. Apabila dia menganjurkan bahawa riak wajahnya yang garang, itu ada kebenarannya. Fizikalnya, dia terlalu tinggi dan berbadan sasa. Mukanya serius dan jika dia berlelucon pun, dia tidak ketawa. Tapi saya dapat rasa wajahnya bersih dan saya tidak menerima pinangannya kerana fizikal, jadi tidak ada masalah bagi saya walau apapun rupa parasnya. Saya tahu, pilihan Walid tentu yang terbaik.
“Nama saya Ilham Hanafi Hamzah. Umur saya 30 tahun. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Bioteknologi. Saya hafaz 5 juzuk al-Quran sedang berusaha untuk hafaz lebih lagi. Apa lagi yang perlu awak tahu, ya?”
“Tak apa, insya-Allah panjang lagi masa kita berkenalan. Saya terima, awak seadanya. Saya harap awak, juga terima saya seadanya. Oh, ya kalau tak keberatan, apa pekerjaan awak?” Saya berharap dia lebih tenang dan tidak rasa tergesa-gesa memperkenalkan dirinya pada saya. Cukuplah saya mengetahui, dia pilihan Walid dan saya pilihan ibu bapanya. Tentu kami sekufu pada mata kedua-dua orang tua. Penyesuaian? Biarlah kami pelajari perlahan-lahan dalam alam rumah tangga kelak.
“Walid, tak beritahu awak pekerjaan saya?”
“Tidak, saya pun tak bertanya pada Walid. Selepas istikharah, saya setuju saja. Nama awak pun, saya baru tahu hari ni.”
“Oh ....” Ujar Ilham, tanpa menjawab pertanyaan saya.
Dugaan Pertama
SAYA tidak berubah fikiran apabila mengetahui pekerjaannya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika saya mengagak daripada bentuk tubuhnya yang kelihatan tegap. Biasa saja pekerjaannya, yang selalu menjadi cita-cita kebanyakan murid di sekolah dahulu dan di universiti, masih ada anak didik saya yang menyimpan cita-cita yang sama. Polis. Cuma yang luar biasa, apabila dia mengkhabarkan sifat pekerjaannya di lapangan. Dia jujur memberitahu, saya akan selalu ditinggalkan kerana urusan kerja dan pekerjaannya bahaya. Raut muka saya sedikit berubah, saya tidak tahu dunia kerjanya. Walid seorang pendidik dan Ummi pula seorang psikiatris. Dunia pekerjaan keluarga saya, adalah pendidikan dan ilmu jiwa. Tidak ada ahli keluarga kami yang berkhidmat dalam angkatan tentera mahupun polis. Sewaktu dilihatnya muka saya berubah, dia menganjurkan saya berfikir semula.
“Tak apa, saya faham. Sebagai pensyarah memberikan awak peluang berjumpa dengan lebih banyak yang calon sekufu. Mereka yang dunianya buku, ilmu dan penyelidikan. Saya tak terkejut kalau awak berubah fikiran.” Ilham menarik nafas dalam, saya perasan suaranya tertekan dalam talian. Saya tidak tahu, kenapa saya pula merasa bahawa dia sengaja mencipta jurang. Ada lompang dalam hati saya mengatakan mungkin dia ada pilihan lain, namun mahu mengkambinghitamkan saya, supaya saya yang menolak pinangannya. Tapi itu tidak akan saya lakukan. Saya akan menyahut seruan hati bergelar isteri.
Terbongkar Rahsia
KAU kekasihku/tapi orang lain bagiku/kau dengan dirimu saja/kau dengan duniamu saja/teruskanlah/teruskanlah kau begitu.
Sudah genap seminggu kami dijabkabul, sempena nuzul Quran. Bait lagu dendangan Agnes Monica penyanyi dari seberang seakan mengena ke batang hidung saya. Saya cuba menumpukan perhatian pada pemanduan, namun bayangan Ilham Hanafi, yang saya jumpa dua minggu lepas kini selamat bergelar suami bermain di minda. Sayalah yang menelan semua kepahitan, sedang baru seminggu berumahtangga. Penyesuaian. Saya perlu banyak bersabar. Sesudah selesai memberi kuliah saya cepat pulang mengejar peluang menyediakan juadah berbuka, kata nasihat Ummi berkesan di hati. Kalau suami merasa air tangan isteri itu akan mengikat kasih sayang kami.
“Berbuka sekali ya? Izzah ada masakkan ....?” Saya menelefon Ilham sedang tangan cekatan menyediakan makanan kegemarannya. Kuih buah Melaka.
“Kerja ni. Nanti abang telefon semula.” Jawapan ringkas yang saya terima sebelum sempat menghabiskan kata-kata. Talian terus dimatikan. Seloyang kuih buah Melaka yang belum disalut kelapa terlepas dari pegangan tangan dan terburai intinya. Lantai di dapur kotor dengan inti gula Melaka yang mencair. Saya menangis. Hati saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya berdebar-debar.
Pernahkah kau bicara/tapi tak didengar/tak dianggap/sama sekali/pernahkah kau tak salah/tapi disalahkan/tak diberi/kesempatan/
Saya matikan radio di dapur yang sedang memutarkan lagu Teruskanlah. Saya ke bilik air, mengambil wuduk. Hanya pada Dia saya mengadu, apakah saya telah tersalah pilih jalan hidup saya? Ketika menyimpan al-Quran dalam laci, saya menjumpai sampul surat putih tertulis nama saya. Nur Izzah Ain Hayati. Saya kira, ini tulisan Ilham Hanafi. Saya tidak peduli, saya rakus hendak membacanya.
“Buat isteri yang abang kasihi. Abang berdoa dikurniakan seorang isteri solehah dan abang mendapatkan Izzah, kurniaan Allah. Tapi abang bimbang menzalimimu. Lalu abang ragu apabila kita bersua. Abang tahu abang akan selalu melukakan daripada memberi kebahagiaan. Banyak belum sempat diceritakan. Sesungguhnya demi keselamatan Izzah lebih sedikit pengetahuan Izzah tentang kerja abang, lebih selamat dan baik untuk Izzah. Bulan ini, abang menyertai operasi membanteras pengedaran dadah dan betul-betul sibuk. Doakan abang.
Bukankah ada pepatah Melayu menyebut, sayangkan anak ditangan-tangankan, sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan. Jadi abang, tinggal-tinggalkan Izzah. Abang tahu, tindakan abang macam badut, mesti Izzah sedang ketawa sambil mengesat air mata. Sekejap abang berlawak, sekejap abang serius. Bersedialah Izzah kerana buat masa ini itulah cabaran yang akan kita tangani bersama. Perkahwinan satu perkongsian dan buat masa ini penyesuaian kita memerlukan perkongsian persefahaman, fahamilah dan terimalah abang, seadanya”
Saya menggeleng-geleng dan memang saya ketawa. Saya fikir saya perlu banyak belajar bagaimana dia boleh membuat saya ketawa hanya dengan tulisannya. ‘Sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan?’ Mungkin ada banyak benarnya pepatah Melayu, kerana dengan ditinggalkan saya belajar merindui ketiadaan dan menghargai setiap kehadirannya. Saya duduk dan menghidupkan suis televisyen.
“Berita Semasa - Seorang pegawai polis cedera parah dalam kejadian tembak menembak dengan penjenayah, disyaki pengedar dadah di ibu kota kira-kira sejam yang lalu. Kita bersama wartawan di lokasi untuk mendapatkan berita terkini.” Saya tutup televisyen, tidak mahu mendengar berita ngeri di petang bulan Ramadan yang patutnya damai dan menenangkan. Tinggal beberapa jam sebelum waktu berbuka. Saya diserbu gelisah, teringat kuih buah Melaka yang terburai isinya di dapur. Segera membayangkan Ilham Hanafi. ‘Tuhan, jauhkan saya dari prasangka.’, bisik hati kecil saya berdoa. Saya terduduk dengan perkhabaran daripada rakan sekerjanya. Namun, saya gagahkan diri. Tentu Ilham memerlukan saya.
“Kami perlukan penderma darah, luka di bahagian abdomen suami Puan parah. Bekalan darah di bulan Ramadan memang terhad.” Ujar petugas di hospital pada saya. Saya hanya dengar perkataan berdesing masuk ke telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Buku rekod derma darah saya bawa bersama, saya biasa menderma darah secara tetap empat bulan sekali. Hendak saja saya suruh petugas itu sedut semua darah yang diperlukan, tapi saya tahu dengan berat 46 kg, saya hanya mampu memberikan Ilham 350 ml darah. Saya berharap Ilham diberi keutamaan memandangkan saya penderma darah dan dia cedera dalam tugasan. Saya dikhabarkan peluru mengenai intestine kecil Ilham dan juga hampir mengenai hati. Lima das semuanya. Saya tidak mahu mendengar lebih lanjut. Saya mahu Ilham dibekalkan darah dengan segera. Azan berkumandang, saya berbuka puasa dengan segera dan cepat-cepat menghulurkan lengan kiri untuk proses menderma darah. Tiba-tiba sekeliling saya gelap.
“Rehat sayang, Izzah pitam tadi.” Ummi ada di sebelah Walid mengusap pipi saya.
“Ilham?”
“Alhamdulillah stabil. Terima kasih, Izzah.” Ujar bapa dan ibu mentua dengan rasa hormat. Saya masih pening lalat. Ramadan menemukan saya dengan cinta, kasih sayang dan pengorbanan. Semua kemanisan yang saya kecapi dari kemurahan Allah yang melimpahkan ujian, rezeki dan umur yang panjang buat kami sekeluarga di bulan yang mulia ini.
===============================================================================
Info penulis
FARHANA Hussain, Pelajar Tahun Satu, Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia adalah penerima Anugerah Penulis Remaja Negeri Perak 2004 dan mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Cerpennya, Kidung Kasih Farah, diterbitkan dalam Antologi Aku Dan Aleeya terbitan DBP, 2002. Cerpen dan sajaknya, mendapat tempat dalam Tunas Cipta dan FOKUS SPM sejak 2002. Mula menerobosi media arus perdana seperti Berita Minggu dengan sajak bertema kekeluargaan seperti Puisi Buat Abah dan Buat Anak-Anak; Belajarlah Mengerti. Boleh dihubungi melalui e-mel farahnyemahmulya@yahoo.com
No comments:
Post a Comment